Thursday, May 13, 2010

KDNK Negara tumbuh 10.1 peratus

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhAWZHER9EzQvWXB8QtASkJ4Y1P1Kx60dLWf_PRnWQpggutFpzMSMlEu3D-oiqe_mGkxQGpIt6ajF3DYx8FGGbThTpvQJNL-6QWZ7Z313LZr0CDvagyOJaKuYdzk6xsWgS58fDzAI6EP4k/s400/TwinTowers-Ringgit.jpg

PUTRAJAYA 13 Mei - Negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini iaitu kadar tertinggi sejak suku pertama 2000 sebanyak 11.7 peratus.

Mengumumkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku tahun keempat 2009 iaitu 4.4 peratus.

Berikutan pertumbuhan memberangsangkan itu, beliau berkata, unjuran KDNK 2010 dikaji semula kepada enam peratus berbanding sasaran 4.5 peratus hingga 5.5 peratus yang dibuat Bank Negara sebelum ini.

''Kadar pertumbuhan memberangsangkan itu disokong oleh pengukuhan permintaan domestik serta sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia.

''Dengan pencapaian pertumbuhan menggalakkan itu serta usaha transformasi kerajaan dan ekonomi, sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus bagi keseluruhan 2010 boleh dicapai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan yang positif juga dapat dilihat di kalangan negara serantau dan pesat membangun seperti China (11.9 peratus), Korea Selatan (7.8 peratus) dan Indonesia (5.7 peratus).

Menurut beliau, dari sudut penawaran, kesemua sektor utama ekonomi mencatat prestasi menggalakkan terutamanya sektor pembuatan yang berkembang pesat sebanyak 16.9 peratus.

''Pertumbuhan sektor itu disokong oleh subsektor elektrik dan elektronik (34.4 peratus), kelengkapan pengangkutan (25.3 peratus) serta barangan kayu dan perabot (18.7 peratus)," katanya.

Najib berkata, sektor perkhidmatan turut berkembang kukuh sebanyak 8.5 peratus disokong oleh sub sektor utiliti (16.6 peratus), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (14.2 peratus), perdagangan borong dan runcit (9.6 peratus) serta pengangkutan dan penyimpanan (9.2. peratus).

''Sektor pembinaan terus berkembang kukuh pada kadar 8.7 peratus manakala sektor perlombongan kembali pulih pada kadar 2.1 peratus.

''Sektor pertanian pula berkembang 6.8 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran getah, ternakan dan kayu balak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dari sudut permintaan pula, pertumbuhan yang menggalakkan itu didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang kukuh khususnya melalui perkembangan penggunaan swasta (5.1 peratus) dan awam (6.3 peratus) yang terus mapan.

''Dalam tempoh ini, kegiatan pelaburan domestik juga cergas pada kadar 5.4 peratus, menggambarkan pemulihan keyakinan pelabur," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, prestasi sektor luaran amat menggalakkan dengan jumlah eksport meningkat ketara sebanyak 19.3 peratus berikutan pemulihan ekonomi dan perdagangan global.

''Jumlah import juga berkembang kukuh pada kadar 27.5 peratus pada kadar 27.5 peratus berikutan peningkatan import barangan perantaraan (37.9 peratus), penggunaan (18.5 peratus) dan modal (9.6 peratus).

''Peningkatan ini mencerminkan aktiviti ekonomi dalam negeri yang semakin rancak," katanya.

Ditanya mengenai pengurangan subsidi, beliau berkata, kerajaan komited dengan langkah itu dan akan melaksanakannya secara berperingkat.

Namun, kata Perdana Menteri, sebarang kajian semula terhadap kadar subsidi akan dipastikan tidak membebankan selain akan menjaga kepentingan golongan yang lemah.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan, kerajaan akan memastikan pemulihan ekonomi yang kuat berada pada landasannya.

''Dan sebarang peningkatan simpanan akan digunakan bagi pelaburan yang produktif.

''Biasanya dengan kita mengurangkan kadar subsidi secara berperingkat, ia adalah dengan hasrat bagi menggunakan simpanan tambahan itu untuk pelaburan yang produktif dan ia akan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment