Analisis: Pembangkang dendang lagu lama rayu pengundi
TIDAK seperti selalu, ceramah pembangkang yang dibarisi pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sepanjang tiga hari pertama kempen pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sabtu lalu, dilihat lebih bersifat memujuk berbanding dipenuhi hamburan maki-hamun terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya.
Bagaimanapun, mereka tidak mampu lari daripada kelaziman – membuat tuduhan tanpa bukti kukuh semata-mata untuk menjerat pengundi agar mata pensil mereka melakarkan tanda pangkah pada simbol roket di kertas undi, Ahad ini.
Isu seperti kes pendakwaan liwatnya terhadap bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pembelian dua kapal selam Scorpene yang kononnya lebih bersifat rasuah dalam bentuk komisen, hukuman penjara ke atasnya sebelum ini dan pelbagai lagi isu lama, terus dicanang.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mendendangkan lagu lama dengan dakwaan kononnya kekayaan sumber asli Sarawak seperti kayu balak dan petroleum lebih menguntungkan pihak tertentu di negeri ini, manakala rakyatnya tidak menikmati kekayaan itu.
Ringkasnya, sementara pemimpin dan jentera pilihan raya PKR dan Pas menumpukan kempen kepada masyarakat Melayu/Melanau dan Bumiputera di bandar, pinggir bandar dan pedalaman, pemimpin serta jentera DAP pula menumpukan kempen di pusat bandar yang majoriti pengundinya Cina.
Yang pasti, jentera kempen pilihan raya BN dan pembangkang terus berusaha bermati-matian siang malam bukan setakat mematahkan hujah isu dibawa lawan, malah yang lebih penting, meyakinkan pengundi mengenai kebenaran sesuatu isu itu.
Seorang pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang sempat ditemui ketika sibuk berkempen, mengakui bukan mudah menawan hati pengundi Cina di kawasan Parlimen Sibu.
Berbeza dengan masyarakat Cina pelbagai subetnik di Semenanjung, khususnya di Hulu Selangor yang majoritinya belum mahu kembali menyokong BN, masyarakat Cina di Sibu adalah etnik Foochow yang dilihat mempunyai kesatuan dalam aspek pemikiran dan tindakan.
"Mereka lebih mementingkan perniagaan. Mereka tidak mahu perniagaan terjejas," katanya.
Beberapa pemimpin BN tempatan, Sabah dan Semenanjung memberitahu, pembangkang akan terus melancarkan pelbagai perang saraf dengan mendakwa kononnya masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera semakin berpihak kepada mereka.
"Setiap kali mereka menuduh, kami akan mematahkannya. Mereka menuduh kami asyik bercakap mengenai politik pembangunan. Sebagai kerajaan, memanglah aspek pembangunan yang menjadi keutamaan. Takkanlah kami hendak bercakap macam mereka yang asyik menghentam orang lain dan menipu rakyat?" kata pemimpin itu.
Sehubungan itu, tempoh berkempen hingga jam 12 tengah malam Sabtu ini harus digunakan jentera kempen pilihan raya BN bukan setakat untuk memastikan masalah pengundi di kubu kuat BN dipastikan diambil tindakan sewajarnya, malah menarik pengundi yang dalam kategori kelabu untuk memberi keyakinan kepada calon BN, Robert Lau Hui Yew.
Kemampuan calon DAP, Wong Ho Leng meraih 15,903 undi kerusi Parlimen Sibu pada pilihan raya umum Mac 2008 tidak harus dipandang mudah. Jumlah 19,138 undi diperoleh bekas Ahli Parlimen Sibu, mendiang Robert Lau Hoi Chew yang melayakkannya menang dengan majoriti 3,235 harus dipastikan oleh jentera BN bukan setakat dikekalkan, malah ditingkatkan.
Jentera BN juga harus memastikan 812 undi yang diperoleh bekas calon PKR, Lim Ken Chuen dan 334 undi rosak pada pilihan raya berkenaan tidak beralih kepada Wong, Ahad ini.
No comments:
Post a Comment